KAJANG – Penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skuda, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dijangka dijalankan, Jumaat ini.
Perkara itu dimaklumkan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, penggalian semula kubur arwah ditetapkan pada pukul 8 pagi.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, di sini, pada 29 Julai lalu.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan komitmen sepenuhnya bagi mematuhi perintah mahkamah berhubung penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris yang meninggal dunia bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, ssiasatan kes akan diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Ulu Tiram.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris digali semula.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua.
Dalam permohonannya, Ummu Haiman memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.
Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran Pakar Forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya. – KOSMO! ONLINE