KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan komitmen sepenuhnya mematuhi perintah mahkamah berhubung penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang meninggal dunia bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, bagi tujuan penyelarasan tindakan, siasatan kes akan diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkuat kuasa semalam.
“PDRM memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berlandaskan undang-undang mengikut prinsip ‘rule of law’ bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan, Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia melalui jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Semalam Kosmo! melaporkan, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris, digali semula yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua.
Dalam permohonannya, Ummu Haiman memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.
Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran Pakar Forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya. – KOSMO! ONLINE