BALIK PULAU – Guru lelaki yang dipercayai mengelar leher isterinya dengan pisau pagi tadi tidak mempunyai rekod bergaduh dengan pasangannya sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, malah siasatan mendapati hubungan pasangan berusia 30 dan 28 tahun itu baik pada malam sebelum kejadian.
“Tidak ada rekod (kes pergaduhan suami isteri). Semua baik-baik (setakat malam tadi). Maklumat saksi juga mengatakan pasangan tersebut pasangan harmoni.
“Kita masih lagi mencari maklumat terbaharu bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi tadi, seorang guru wanita cedera selepas dipercayai dikelar suaminya sebelum lelaki itu bertindak mengelar dirinya sendiri menggunakan senjata sama yang diambil dari dapur.
Kejadian itu disedari ibu mangsa yang terdengar jeritan anak perempuannya dari bilik atas rumah dua tingkat di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas.
Semasa kejadian, suspek menindih badan isterinya yang berada di atas katil sebelum cuba mengelar leher wanita tersebut.
Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala suaminya ditidurkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE