KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga pada Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis selepas menyingkirkan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Kittinupong Kedren.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Adidas Arena sebentar tadi, gandingan No.22 dunia itu hanya memerlukan masa 33 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-17.
Meskipun berdepan pilihan ke-12, namun juara Terbuka Macau itu mempamerkan aksi cukup baik dalam kedua-dua set permainan apabila menunjukkan dominasi sehingga menyebabkan pemain lawan tertekan.
Kemenangan mudah diraih di set pertama nyata memberi keyakinan buat Arif-Roy King untuk mengekalkan momentum di set kedua bagi mencatat kemenangan 21-17 biarpun pada awalnya sedikit ketinggalan.
Menjelang pusingan ketiga esok, mereka dijadualkan bertemu sama ada beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley ataupun rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan beraksi sebentar lagi.
Turut melangkah ke pusingan ketiga adalah beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Malik Bourakkadi-Leona Michalski dari Jerman 21-10, 18-21, 21-12.
Pada pusingan ketiga nanti, gandingan No.16 dunia itu dijadualkan bertemu rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang membenam cabaran beregu Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong 21-19, 21-15.
Bagaimanapun, langkah beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tersekat di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan adik beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 11-21, 9-21.
Turut tersingkir adalah perseorangan wanita negara, K. Letshanaa yang tewas kepada bekas juara dunia dari India, P.V. Sindhu 19-21, 15-21 dalam tempoh 43 minit. – KOSMO! ONLINE