fbpx
SAMA=sama bersetuju filem gandingan mereka, Abah Saya Uncle Mike sebuah karya sarat emosi, Idan dan Andy berharap kasih sayang tanpa sempadan dalam karya berkenaan bakal tersemai indah ke jiwa penonton.- SHIDDIQIN ZON

‘Kasih tanpa syarat Uncle Mike buat saya sebak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEIKHLASAN seorang lelaki berketurunan Tionghua membesarkan tiga beradik yatim piatu berbangsa Melayu dengan sepenuh kasih sayang selain memberikan didikan agama yang sempurna pernah tular dan menyentuh hati ramai satu ketika dahulu.

Berbeza budaya dan agama, Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike bagaimanapun sangat menghormati ajaran Islam yang dianuti ketiga-tiga anak angkatnya menjadi sumber inspirasi masyarakat.

Kisah keluarga itu mendorong syarikat produksi Astro Shaw bekerjasama dengan Etika Sdn. Bhd. mengangkat cerita luar biasa mereka ke layar perak menerusi Abah Saya, Uncle Mike yang menyaksikan aktor Andy Teh menggalas sosok dikagumi ramai itu.

SELAIN Andy Teh dan Idan Aedan, filem berdasarkan kisah benar tersebut turut dibarisi Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan dan Pauline Tan.

Jumpa empat mata

Bagi Andy, 38, peluang mendalami karakter lelaki yang menjadi sebutan ramai atas ketulusan menjaga anak yatim dan memberi pendidikan agama secukupnya sebagai cabaran besar.

Berbanding filem aksi, kisah kekeluargaan begitu memerlukan banyak permainan emosi dalaman yang menguji ketahanan mental berdepan babak berat.

“Apabila lolos uji bakat dan layak menggalas peranan Uncle Mike, saya cuma kata ‘wow’, kerana itu antara watak dan perwatakan yang saya tunggu-tunggu selepas kerap tampil dalam filem aksi.

“Nampak mudah, hakikatnya banyak emosi dan air mata tumpah apabila melalui beberapa adegan yang membuatkan hati saya tersentuh dengan keluhuran hati seorang insan bernama Uncle Mike.

“Walaupun buat kajian sebelum masuk set, sukar di jangka apa yang berlaku, lebih-lebih lagi bergandingan dengan tiga pelakon muda berbakat besar.

“Memang sarat emosi, susah nak gambarkan kepenatan itu,” katanya dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini.

Disertai aktor Idan Aedan, 21, selaku anak sulung daripada tiga bersaudara bernama Rafei, Andy memuji kehebatan Idan serta dua lagi bintang muda, Nor Merah sebagai anak kedua, Rasyid; dan Umar Shakur si bongsu bernama Rahman.

Akui bintang Blood Brothers: Bara Naga itu, masing-masing ‘memberi’ dan hubungan di set juga bagai keluarga sebenar sehingga setiap babak berlangsung dengan sempurna.

Mengenai persediaan selain meneliti budaya masyarakat Melayu dan agama Islam, Andy juga bertemu empat mata dengan Uncle Mike sebelum penggambaran bermula.

“Jika sebelum itu saya hanya kenal Uncle Mike menerusi bacaan, selepas berjumpa beliau saya lebih memahami keperibadiannya. Beliau seorang lelaki yang tenang dan tak banyak cakap.

“Bawa watak tokoh yang ada di depan mata kita juga sebenarnya tidak mudah. Pastinya akan ada perbandingan dengan figura asal tetapi itu asam garam dunia lakonan,” katanya.

SELAKU pelakon utama yang memegang watak Abah atau Uncle Mike, Andy cukup teruja. Baginya itu karakter yang dinanti-nantikan.

Hilang bapa

Bagi Idan yang sudah terjun ke arena seni sejak berusia 10 tahun, naskhah arahan Ezrie Ghazali tersebut membuka matanya tentang nilai kasih sayang sesama insan dan sikap saling menghargai.

“Saya sendiri kehilangan bapa ketika sekolah menengah, jadi dapat memahami perasaan Rafei dan adik-adiknya yang tiada tempat bergantung, apatah lagi ibu mereka juga sudah meninggal dunia.

“Apabila muncul Uncle Mike yang membuka pintu rumah untuk mereka berteduh dan mencurahkan kasih sayang tanpa syarat, itu sahaja cukup membuatkan saya sebak.

“Cuma bezanya saya anak bongsu sementara dalam filem ini saya menjadi abang sulung, jadi emosi ketiadaan insan tersayang tetap saya rasai,” katanya.

Menurut Idan lagi, sepanjang penggambaran banyak momen mengusik jiwa sehinggakan set penggambaran menjadi ‘banjir’ dengan deraian air mata.

“Ketika sesi membaca skrip saya sudah terasa naskhah ini nanti mampu membuatkan penonton sebak, tapi rupa-rupanya kami pula yang menangis dulu.

TERUJA. Asyik muncul dalam naskhah aksi selama ini, lakonan dramatik penuh emosi dalam Abah Saya, Uncle Mike menghadirkan keterujaan berganda buat Andy (kiri).

“Daripada naskhah ini, saya lebih mensyukuri kehidupan serta orang sekeliling terutama keluarga dan kenalan rapat. Abah Saya, Uncle Mike memang wajib ditonton,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Abah Saya, Uncle Mike merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kisah pengorbanan Uncle Mike hanya mendapat perhatian media selepas 16 tahun hidup bersama empat beradik malang itu.

Jastina menyifatkan tindakan Uncle Mike sebagai sesuatu yang sangat menyentuh hati dan wajar dikongsi dengan masyarakat.

“Selaras dengan mesej dan tema perpaduan, naskhah ini memberi peluang kepada kami untuk mempersembahkan programatik treler edisi perayaan,” katanya.

Selain Andy dan Idan, filem yang turut dibintangi Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan dan Pauline Tan tersebut bakal menemui khalayak pada 28 Ogos ini.

Ebagai anak yang kehilangan bapa sejak remaja, Idan Aedan cukup memahami karakter Rafei, anak sulung empat beradik yang yatim piatu dalam Abah Saya, Uncle Mike dengan baik.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI