PETALING JAYA – Gempa bumi lemah berukuran 3.2 skala magnitud telah dikesan berlaku di Johor pada pukul 8.59 pagi hari ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi tersebut berpusat di koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer, kira-kira 18 kilometer di selatan Segamat, Johor.
Gegaran dilaporkan dirasai di kebanyakan kawasan sekitar Johor serta beberapa kawasan di selatan Pahang.
MetMalaysia memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan gempa bumi berkenaan dan memberi makluman terkini sekiranya terdapat sebarang perubahan.
“Mohon tuan atau puan yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini dapat mengisi borang soalselidik di pautan ini: https://forms.gle/JMGSQhuAKdtwWn2a7,” kata MetMalaysia.
Sebelum ini, MetMalaysia melaporkan dua kali kejadian gempa bumi lemah di Johor masing-masing berlaku pada pukul 6.13 pagi dan 9 pagi, 24 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor, Noorazhar Ngatimin dilaporkan berkata, kerak benua di Semenanjung Malaysia masih menyimpan tegasan tektonik yang boleh dilepaskan secara tiba-tiba sehingga boleh menyebabkan berlakunya gempa bumi.
Katanya, semakan awal peta geologi menunjukkan pusat gempa Segamat yang berlaku Sabtu lalu terletak berhampiran lanjutan Zon Sesar Mersing, yang berorientasi Barat-Barat Laut hingga Timur-Tenggara. – KOSMO! ONLINE