LONDON – Lewis Hamilton kembali daripada rehat musim panas dengan semangat berbeza dan mahu menekan butang ‘reset’ bersama Ferrari selepas melalui separuh pertama musim Formula Satu (F1) yang cukup mengecewakan.
Juara dunia tujuh kali itu mengakui, tempoh tiga minggu tanpa perlumbaan memberi peluang kepadanya untuk berehat, mengisi semula tenaga dan menilai kembali hala tuju selepas gagal menyerlah sejak menyertai skuad Scuderia.
Tekanan terus menghimpitnya apabila pemandu berusia 40 tahun itu gagal menghadirkan keputusan memberangsangkan, malah di Grand Prix (GP) Hungary awal bulan ini, dia hanya mampu bermula di petak ke-12 berbanding rakan sepasukan, Charles Leclerc di petak utama.
Kekecewaan itu membuatkan Hamilton melontarkan kata-kata yang menggemparkan dunia F1 dengan menggelarkan dirinya ‘tidak berguna’ serta secara terbuka mencadangkan Ferrari menggantikannya dengan pelumba lain.
Namun, rehat musim panas hadir tepat pada waktunya, memberi ruang kepada Hamilton untuk menenangkan fikiran dan kembali dengan mesej yang lebih positif.
“Saya sentiasa bersyukur untuk masa ini, peluang berehat dan mengisi semula tenaga. Kita semua berdepan cabaran, baik secara individu mahupun global. Kita tidak boleh pandang ke belakang dan mesti terus melangkah walaupun ia sukar,” katanya.
Ucapan penuh bermakna itu dianggap sebagai isyarat Hamilton mahu memulakan cabaran baharu menjelang baki saingan musim ini.
Namun, spekulasi masa depan Hamilton terus berlegar dengan segelintir pemerhati percaya dia mungkin meninggalkan F1 sebelum kontraknya bersama Ferrari tamat pada 2026.
Sebaliknya, ada juga berpendapat peraturan baharu pada 2026 bakal menjadi penentu utama sama ada Hamilton masih mampu bersaing di pentas tertinggi. – AGENSI