IPOH – Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki pada September tahun lalu.
Tertuduh, Airil Iswan Mat Shamsuri, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas mangsa yang berusia 17 tahun ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan bapa dua anak itu di sebuah rumah di Gerbang Meru Indah pada pukul 10.30 malam, 13 September dan awal pagi, 14 September 2024.
Tertuduh juga didakwa menyentuh mangsa bagi maksud seksual di dalam bilik warden di sebuah sekolah menengah di Ipoh pada awal pagi 27 September 2024.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya dibenarkan, jumlah yang dicadangkan sebanyak RM40,000 serta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE