DALAM dunia e-sukan yang semakin berkembang, seorang caster atau pengulas merupakan satu jawatan penting, kerana mereka bukan sahaja mengulas, tetapi juga menjadi penterjemah aksi serta menghidupkan permainan dengan naratif yang membuat penonton terpaku.
Selaku caster, nama Ikuto Radzi semakin menonjol sebagai figura yang bukan sahaja memandu penonton memahami strategi permainan, malah menyalurkan semangat seolah-olah mereka berada di dalam gelanggang.
Berkongsi dengan K-Remaja baru-baru ini, anak kelahiran Tanjung Rambutan, Perak itu berkata, permulaannya dalam bidang ini tercetus sejak menuntut di matrikulasi.
Ketika itu, pemilik nama penuh Radzi Rahman Ibrahim itu cukup suka bermain Defense of the Ancients (DotA).
“Ketika itu, saya mula memandang serius terhadap bidang e-sukan dengan menyertai pelbagai pertandingan.
“Ketika itu juga, pertandingan tidak sebanyak sekarang, namun saya akan ambil apa sahaja peluang yang ada.
“Jika dalam bidang ulasan e-sukan pula, ia bermula beberapa tahun kemudian, sewaktu saya mengikuti pengajian sarjana dalam bidang Advanced Material,” katanya.
Kongsi Ikuto, memandangkan dia merupakan lulusan bidang Fizik, agak sukar meyakinkan ibu bapanya tentang minat baharunya itu sementelahan lari jauh daripada apa yang dipelajarinya di universiti.
Namun, dia tidak patah semangat dan seronok apabila mampu menjadi antara insan dikenali dalam bidang ulasan e-sukan.
Ujar Ikuto, biarpun tidak terlibat sebagai atlet yang bertarung di pentas perlawanan, kerjaya sebagai caster memberi cabaran yang berbeza, apabila dia perlu membuatkan sesuatu permainan itu lebih menarik.
“Selaku caster, peranan saya antaranya termasuk perlu membina rasa debaran, membina semangat serta membentuk jalan cerita.
“Permainan itu semua penonton boleh tonton dan faham, tetapi penceritaan di sebaliknya yang menyebabkan perlawanan itu akan lebih diminati. Permusuhan, sejarah perlawanan, cara permainan mengasyikkan dan penceritaan penting dalam menjadikan perlawanan itu seronok ditonton,” katanya.

Jika dibandingkan dengan beberapa tahun lalu, jumlah pengulas e-sukan kini semakin bertambah, namun gaya tersendiri menjadikan Ikuto antara nama yang cukup dikenali.
“Jika ditanya tentang perbezaan gaya ulasan saya dengan caster lain, mungkin saya boleh katakan bahawa pengulasan saya banyak menekankan kepada aspek analisis perlawanan, supaya ulasan itu lebih sedap didengari,” katanya.
Sepanjang kerjayanya, Ikuto berkata, dia cukup ingat perlawanan antara pasukan Todak vs 10s Gaming Plus, yang merupakan wakil tunggal Malaysia menentang pasukan dari Jepun ketika M1.
“Ia satu perlawanan yang sangat dekat di hati saya, kerana suara saya sebagai pengulas berkumandang di Axiata Arena, didengari oleh semua orang sambil ditonton keluarga saya yang juga ketika itu berada di stadium. Ia membuatkannya satu perlawanan yang akan saya ingati sampai bila-bila,” katanya.
Tugas caster tidak mudah, memandangkan sama seperti atlet, mereka juga perlu sentiasa memastikan stamina cukup baik sepanjang mengendalikan perlawanan.
Bagi Ikuto, dia sentiasa memastikan dia minum air secukupnya sebelum mula mengulas, selain bersukan seperti berenang dan joging bagi memastikan staminanya baik.
Berkongsi pandangan tentang perkembangan industri e-sukan kini, Ikuto melihat ia sudah banyak berkembang berbanding 10 tahun lalu.
“Jika dahulu, pertandingan hanya diadakan dua atau tiga bulan sekali, namun kini setiap minggu kita dapat melihat pelbagai pertandingan e-sukan yang dianjurkan dalam pelbagai genre berbeza seperti Mobile Legends Bang Bang (MLBB), HOK, eFootball, Valorant, Freefire dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile sekali gus menunjukkan perkembangan yang begitu besar,” katanya.
Buat anak muda yang mungkin mahu bergelar pengulas permainan e-sukan sepertinya, namun tidak tahu bagaimana mahu bermula, Ikuto menasihatkan mereka supaya sentiasa mencari ilmu tentang bidang itu.
“Nasihat saya yang paling utama adalah belajar. Dengan belajar, kita akan ada ilmu dan dengan ilmu, insya-Allah kita akan berjaya kerana ilmu yang akan menjaga kita.
“Untuk menjadi pengulas, cintakan permainan itu dahulu. Tak kenal maka tak cinta, bila kita cinta barulah kita seronok untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.
“Mulakan langkah anda dengan mengulas permainan dan acara kecil. Langkah pertama itu yang paling sukar tetapi percayalah semakin lama ia akan lebih mudah,” ungkapnya.














