fbpx
Mohamad Alamin di Dewan Rakyat hari ini. - Foto JAPEN

Dewan Negara: Malaysia salur AS$50,000 kepada UNAOC tangani Islamofobia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia menyumbang AS$50,000 setiap dua tahun kepada Tabung Amanah Sukarela Perikatan Tamadun-Tamadun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC)

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, ia bagi menyokong pelaksanaan program menentang Islamofobia melalui pendidikan, dialog dan penglibatan belia di peringkat antarabangsa.

“Sejak tahun 2009, sumbangan Malaysia mencecah AS$410,000. Bagi tempoh 2023 hingga 2024, sumbangan Malaysia membolehkan UNAOC membiayai tiga projek belia berimpak tinggi di Malawi, Indonesia dan Bosnia dan Herzegovina.

“Projek ini menekankan pemupukan toleransi dan persefahaman antara agama, enangkisan stereotaip negatif terhadap Islam dan pemerkasaan belia sebagai pemimpin inisiatif keamanan komuniti,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang berhubung ketegasan Malaysia dalam menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan Islamofobia.

Mohamad berkata, antara kesan sumbangan Malaysia termasuk penyertaan lebih 1,100 individu dalam aktiviti berbentuk pendidikan, kempen digital dan interaksi rentas agama.

Menurut beliau, kesan lain adalah pembangunan bahan latihan yang kini dimanfaatkan oleh lebih 10,000 orang secara fizikal dan maya serta pembentukan rangkaian kerjasama antara belia Islam, Kristian, Buddha dan komuniti lain.

Selain itu, katanya, Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 menekankan pemupukan identiti ASEAN berasaskan inklusiviti, kepelbagaian dan penghormatan terhadap warisan budaya setiap negara anggota.

“Dalam konteks ini, Malaysia dibawah Institut Keamanan dan Rekonsiliasi ASEAN telah menonjolkan kepimpinannya melalui penganjuran Dialog Antara Agama dan Antara Budaya di Pulau Pinang pada November 2024.

“Malaysia melalui Wisma Putra turut mengoptimumkan peranan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Memerangi Keganasan (Searcct) sebagai salah satu institusi penting dalam mendepani ekstremisme ganas melalui pendekatan lembut.

Jelas beliau, sumbangan berterusan Malaysia bukan sahaja membantu menangani isu Islamofobia di luar negara, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam diplomasi kemanusiaan dan suara utama dunia Islam.

“Komitmen ini menzahirkan imej Malaysia sebagai negara sederhana, progresif dan berdaya saing, serta meneguhkan peranan kita sebagai jambatan antara dunia Islam, ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam memperjuangkan keamanan serta keharmonian sejagat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI