MANCHESTER – Posisi penjaga gol menjadi elemen utama yang perlu diperbaiki segera oleh pengurus pasukan, Ruben Amorim bagi mengelak berdepan satu lagi musim memalukan buat Manchester United.
Legenda The Red Devils, Rio Ferdinand berpendirian penjaga gol pasukan ketika ini, Altay Bayindir perlu menggandakan usahanya untuk menjadi lebih baik kerana kelemahan sudah terbukti dalam dua perlawanan awal sebelum ini.
“Manchester United kelihatan goyah di mana penjaga gol tidak menyakinkan saya. Dalam situasi bola mati, dia melakukan banyak perkara 50-50 tetapi sejujurnya bukan saja penjaga gol, barian belakang pasukan juga tidak bermain dengan baik.
“Dia (Bayindir) perlu tingkatkan lagi permainannya, dia kena biasakan diri dengan asakan dan mencari jalan untuk jadi lebih baik.
“Saya fikir dia kurang berkomunikasi hingga orang mula alpa dengan apa yang sedang berlaku. Keputusan yang dilakukannya juga tidak begitu bagus dan bagi saya semua itu tidak cukup,” katanya.
Bayandir kini menjadi pilihan nombor satu Amorim, namun kedudukan itu mungkin tergugat memandangkan United semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan Senne Lammens dari Royal Antwerp.
The Red Devils juga memiliki Andre Onana, namun masa depannya masih lagi menjadi tanda tanya memandangkan penjaga gol dari Cameroon itu dipalit dengan beberapa kesilapan pada saingan musim lalu.
Dalam masa sama, Onana juga masih bertarung dengan masalah kecederaan sejak mengalami hamstring dalam sesi latihan bulan lalu. – AGENSI