fbpx
GAUDU menebus kekecewaan dengan menjuarai peringkat ketiga perlumbaan Vuelta a Espana awal pagi semalam. - AFP

Kecurian basikal bayangi kejayaan Gaudu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Perlumbaan Vuelta a Espana dicemari dengan insiden kecurian basikal melibatkan pasukan Visma-Lease a Bike, hanya beberapa jam sebelum pelumba memulakan peringkat ketiga dari San Maurizio Canavese ke Ceres, Sepanyol awal pagi semalam.

Menurut kenyataan rasmi gergasi dari Belanda itu, beberapa basikal bernilai tinggi hilang daripada lori mekanik mereka pada waktu malam memaksa polis Itali melancarkan siasatan.

Kejadian itu mencalar imej perlumbaan berstatus Grand Tour yang sepatutnya menitikberatkan aspek keselamatan dan bebas daripada kecurian.

Insiden tersebut menambah beban kepada Visma yang sudah pun berdepan tekanan selepas kemalangan dan kecederaan menimpa pelumba mereka, Axel Zingle selain cabaran untuk mempertahankan jersi merah milik Jonas Vingegaard.

“Pada malam tadi, lori mekanik kami dipecah masuk dan beberapa basikal dicuri. Walaupun berdepan insiden malang, mekanik kami sedang berusaha gigih bagi memastikan pasukan tetap bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peringkat ketiga.

“Pihak polis telah dimaklumkan dan siasatan rasmi kini sedang dijalankan,” kata Visma dalam satu kenyataan semalam.

Namun, di garisan penamat, kemenangan menjadi milik pelumba Perancis, David Gaudu yang bangkit daripada kekecewaan sehari sebelumnya untuk menewaskan Mads Pedersen dan Vingegaard dalam pecutan mendaki ke Ceres.

Gaudu, 28, yang menunggang untuk Groupama-FDJ, cemerlang membaca selekoh terakhir sebelum memecut deras meninggalkan Pedersen (Lidl-Trek) di tempat kedua, manakala Vingegaard sekadar meraih tempat ketiga.

Tambahan 10 saat bonus mengangkat Gaudu setara dengan Vingegaard dalam perebutan gelaran keseluruhan, namun pelumba Denmark itu masih kekal dengan jersi merah berdasarkan kelebihan konsistensi kedudukan peringkat.

Bagi Gaudu, kejayaan itu hadir selepas musim penuh berliku, termasuk menamatkan Giro d’Italia di kedudukan ke-66 serta diketepikan daripada Tour de France.

“Musim ini sukar, tetapi pasukan sentiasa sokong saya. Mengangkat tangan di garisan penamat adalah ganjaran buat mereka,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI