LIPIS – Seorang bapa enam anak ditahan kerana memiliki 25 butir peluru hidup dan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Mentara Baru di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditangkap pada pukul 6.10 pagi oleh 10 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lipis.
“Pemeriksaan menjumpai satu paket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 31 gram. Turut ditemukan tujuh biji pil warna merah bertanda huruf ‘WY’ dipercayai pil yaba,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sini hari ini.
Menurut Ismail, pihaknya turut menjumpai 25 butir peluru hidup pelbagai warna yang disimpan dalam rumah berkenaan.
Tambahnya, suspek yang bekerja sendiri mendakwa mengambil dua jenis dadah itu sejak lima tahun lalu dan mempunyai dua rekod kes dadah. – KOSMO! ONLINE