PUTRAJAYA- Kerajaan berhasrat terus smemperkukuh kerjasama serantau melalui pelaksanaan Rangka Kerja dan Pelan Tindakan ASEAN bagi Peralihan Adil dan Inklusif ke Arah Pekerjaan Hijau (2025–2030) serta penubuhan Pusat Kecemerlangan Serantau ASEAN untuk Pekerjaan Hijau (AGJCOE).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, AGJCOE akan berfungsi sebagai platform utama bagi merangsang pelaburan, latihan dan pembangunan tenaga kerja dalam sektor hijau melibatkan negara anggota, selaras dengan matlamat ASEAN untuk mencapai peralihan tenaga yang adil dan inklusif.
“Ketika sebahagian dunia menghadapi kesukaran untuk bekerjasama, ASEAN mesti teguh mengekalkan persahabatan yang telah lama terjalin. Ketika negara-negara dipaksa memilih pihak, kita perlu komited terhadap kedudukan tengah kita.
“Dan ketika geo-ekonomi dan geopolitik berada dalam keadaan tidak stabil dan sukar diramal, kita perlu mengekalkan sifat fleksibel yang menjadi ciri budaya Asia, namun terus berdisiplin dan agresif dalam membina masa depan yang lebih hijau, bermula sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan ASEAN Green Jobs Forum 2025 di sini hari ini.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pekerjaan hijau adalah pekerjaan yang baik yang menyumbang untuk memelihara atau memulihkan alam sekitar, sama ada dalam sektor tradisional seperti pembuatan dan pembinaan, atau dalam sektor hijau baharu yang baru muncul seperti tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga.
Steven Sim berkata, apabila rantau ini melabur dalam ekonomi hijau, kesannya sangat besar, bukan sahaja dalam menangani isu perubahan iklim, tetapi mencipta berjuta pekerjaan hijau yang mampu mengubah kehidupan.- KOSMO! ONLINE