KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun enggan terlalu memikirkan mengenai sasaran sepanjang kempen Kejohanan Badminton Dunia 2025 sedang berlangsung di Paris, Perancis hingga Ahad ini.
Sebaliknya, pilihan ketujuh kejohanan itu hanya mahu memberikan tumpuan terhadap satu demi satu perlawanan kerana menganggap ia mampu untuk membantu mereka mencatat kemenangan.
Itulah pendekatan digunakan Wei Chong-Kai Wun ketika menewaskan beregu tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-15, 13-21, 21-19 pada aksi pusingan kedua awal pagi tadi.
“Apa yang paling penting adalah mengekalkan aksi konsisten dalam setiap perlawanan. Dengan menggunakan pendekatan seperti itu, peluang untuk kami menang akan sentiasa ada.
“Saya rasa lawan kami hari ini bermain sangat baik kerana mereka beraksi di laman sendiri selain mendapat sokongan penuh penonton. Mereka beri tentangan yang sukar,” kata Wei Chong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebagai rekod, kemenangan itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun terus mengekalkan aksi tanpa kalah kepada pasangan adik beradik tersebut dalam tiga pertemuan setakat ini.
Sementara itu, Kai Wun pula menjelaskan, beberapa kesilapan mudah yang dilakukan sepanjang perlawanan hampir memerangkap diri sendiri dan membuka ruang buat Christo-Toma untuk melakar kejutan.
“Mereka beraksi sangat baik tetapi kami juga ada buat beberapa kesilapan mudah. Apabila ketinggalan, saya pesan kepada Wei Chong supaya bertenang dan jangan fikir terlalu banyak,” ujarnya.
Menjelang pusingan ketiga hari ini, Wei Chong-Kai Wun akan berdepan pilihan ke-14 dari England, Ben Lane-Sean Vendy yang menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 21-18, 21-16. – KOSMO! ONLINE