fbpx
Konsert Saturday Night - Celebrating Bee Gees adalah bagi meraikan kumpulan berpengaruh dunia itu menerusi penampilan band tribute dari United Kingdom ke Kuala Lumpur.

Seperti menonton formasi asal Bee Gees

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RENTAK disko rancak era 1970-an menyelubungi Zepp Kuala Lumpur sebaik kumpulan band tribute popular, Saturday Night Bee Gees mendominasi lokasi persembahan berkelas antarabangsa itu.

Diterbangkan khas Milestone Production ke Malaysia baru-baru ini, kumpulan asal United Kingdom itu beraksi selama dua malam berturut-turut yang meraih sambutan luar biasa.

Bukan sekadar hiburan, Konsert dinamakan Saturday Night – Celebrating Bee Gees bermatlamat mengisi tabung dana Tuanku Ja’afar Education Trust bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Bahkan kemunculan enam sekawan yang mula menempa nama hampir dua dekad lalu, juga penampilan pertama mereka di Asia mengubat kerinduan terhadap lagu kumpulan ikonik, Bee Gees.

Malam penuh magis itu seperti membuka terowong masa yang membawa khalayak menelusuri kehebatan Barry, Robin dan Maurice Gibb sehingga menjadi idola ramai sejak ditubuhkan pada 1958.

Tentu sahaja fantasi tersebut direalisasikan Brian Allen, Mark Garrity, Ted Golding, Will Rayson, Carol Golding serta John Andrews menyerlahkan taring dengan deretan seleksi malar segar.

Antara lagu yang membuatkan penonton tidak senang duduk adalah Staying Alive, Night Fever, How Deep Is Your Love dan variasi lagi repertoire sepanjang lebih dua jam.

Menariknya, energi Saturday Night Bee Gees yang sudah berusia melebihi separuh abad tetap memuncak seolah-olah bagai tiada lelah biarpun turut bergoyang mengikut irama.

Masing-masing juga bijak memancing tumpuan apabila gemar bergurau mengusik hadirin selain tidak putus memuji keindahan Malaysia serta keramahan masyarakatnya.

Istimewanya, anggota wanita tunggal iaitu Carol juga isteri kepada Ted memilih menggayakan vest batik tanda penghargaan kepada kehalusan seni halus tempatan.

Tidak hairan, wajah teruja serta reaksi spontan khalayak membuktikan persembahan yang membangkitkan nostalgia disulami ucapan dan jenaka bersahaja mendekatkan mereka dengan peminat.

Biarpun duduk di kerusi, masing-masing galak bertepuk tangan, menyanyi dan bergoyang mengikuti rentak yang tidak lapuk ditelan zaman, bahkan ada penonton berdiri di tepi dewan untuk menari sepuas hati.

Bukan itu sahaja, ada kalangan penonton cukup ‘sporting’ apabila memilih gaya retro iaitu mengenakan seluar ‘bell bottom’ dan kemeja berbunga lengkap beg kotak.

Seperti Bee Gees asal

Nyata Saturday Night Bee Gees mampu memukau penonton di seluruh dunia dengan kebolehan mereka meniru gaya, suara, dan aura asal kumpulan Bee Gees.

Persembahan mereka pada malam tersebut benar-benar mempesonakan dengan paduan vokal harmoni, muzik sempurna serta visual menakjubkan, sekali gus menghidupkan kembali warisan muzik Gibb bersaudara.

Pada masa sama, penganjur tidak melupakan kehebatan anak tempatan apabila mengundang penyanyi, Eryn Gani yang memukau dengan kelunakan vokalnya membawakan dendangan pop hingga ke klasik.

Turut mencuri tumpuan ialah pemain perkusi Malaysia, Ashley Choong Siew Mun yang pernah berkolaborasi dengan legenda muzik dunia seperti Michael Jackson, Herbie Hancock, Mongo Santamaria dan Miles Davis.

Hanya wajah penonton yang menunjukkan kekaguman mereka terhadap penggiat muzik tempatan seperti Eryn dan Ashley.

Rata-rata yang menjadi saksi Saturday Night – Celebrating Bee Gees menyifatkan meraih pengalaman luar biasa kerana berpeluang menikmati hiburan bertaraf dunia sambil beramal.

Acara ini turut direalisasikan dengan sokongan Maybank, Lite FM, Cosmo Hotel, RW Nutriogreen serta Rhymba Hills.

Konsert juga bukan sekadar persembahan, sebaliknya perayaan penuh jiwa dan tenaga, meraikan antara kumpulan muzik paling berpengaruh dalam sejarah untuk peminat dari semua generasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI