PETALING JAYA – Pelakon Nelissa Nizam menegaskan karakternya sebagai perampas suami orang dalam drama Seadanya Kita sekadar lakonan semata-mata.
Nelissa atau nama penuhnya Nelissa Edreena Nizam, 27, enggan mempedulikan segala kecaman dan kebencian yang dilemparkan terhadapnya kerana berasakan penonton zaman sekarang sudah ada tahu membezakan antara realiti dan lakonan.
“Saya tidak kisah dibenci kerana watak yang saya bawakan.
“Penonton yang bijak akan faham bahawa itu hanyalah lakonan.
“Apa yang benar-benar penting ialah mesej yang disampaikan melalui watak tersebut,” katanya dalam Threads baru-baru ini.
Dalam masa sama, Nelissa berkata, dia perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon dan menyampaikan dengan seluruh jiwa meski sedar tidak akan disukai ramai.
“Lakonan bukan tentang disukai ramai, tetapi tentang kesungguhan memberi jiwa pada watak itu, walaupun kadang-kadang membuat orang lain tidak selesa.
“Kerana ada masanya, pengajaran terbesar hadir daripada rasa tidak selesa itu.
“Jika penonton dapat refleks dengan mesej yang disampaikan, maka karya itu sudah berbicara lebih lantang daripada persembahan itu sendiri,” ujarnya.
Menerusi drama tersebut, Nelissa turut menerima kecaman kerana pakaian yang digayakan untuk babak bekerja di pejabat dikatakan tidak sesuai iaitu dres dan skirt pendek.
Dalam Seadanya Kita, Nelissa membawakan watak sebagai Neesa yang menggoda suami kakak angkatnya sendiri lakonan Shah Jaszle dan Emma Maembong.
Selain Nelissa, Shah Jaszle dan Emma, drama arahan Feroz Kader tersebut turut dibintangi Mierul Aiman, Ara Johari serta Yasmin Hani. – KOSMO! ONLINE