KUALA LUMPUR – Kerajaan mensasarkan seramai 13 juta pengguna mendaftar MyDigital ID menjelang hujung tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sedang bergerak ke arah penggunaan MyDigital ID melalui pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 yang diusulkan di Parlimen hari ini.
“Pindaan akta berkenaan bagi membolehkan penggunaan MyDigital ID dalam semua urusan sektor awam dan swasta.
“Selain itu, institusi kewangan seperti perbankan, insurans dan sebagainya akan mengiktiraf MyDigital ID ini. Kita semua sedang bergerak ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menurutnya, penggunaan MyDigital ID menggunakan kaedah log masuk tunggal) dapat mengatasi kebimbangan masyarakat mengenai pencerobohan data dan kecurian identiti.
Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan memperkenalkan MyDigital ID sebagai satu bentuk pengesahan identiti digital tunggal yang sahih, selamat dan dipercayai di bawah inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam melalui platform Government Technology (GovTech).
Beliau dilaporkan berkata, langkah ini bertujuan memudahkan rakyat mengakses pelbagai kemudahan awam secara dalam talian dengan lebih cekap dan pantas.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, seramai 2.8 juta orang rakyat Malaysia telah mendaftar dengan MyDigital ID pada suku kedua 2025, meningkat daripada jumlah 1.8 juta pendaftaran yang dicatatkan pada suku pertama lalu. – KOSMO! ONLINE