JAKARTA – Berpuluh-puluh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) menyerbu sebuah balai polis di Selayar, wilayah Sulawesi Selatan gara-gara satu kes kemalangan jalan raya membabitkan anggota polis dan seorang ahli keluarga tentera, lapor laman berita IDN Times Sulsel semalam.
Dalam kejadian malam Sabtu lalu, kira-kira 40 anggota Komando Tentera Daerah (Kodim) menyerbu balai tersebut dan melepaskan tiga das tembakan ke udara.
Menurut laporan, insiden itu berpunca daripada rasa tidak berpuas hati berkaitan kemalangan melibatkan seorang anggota polis Selayar dengan ahli keluarga salah seorang askar TNI.
Pegawai Perhubungan Awam Polis Selayar, Ajun Inspektor Andre Suardi Piongdjongi berkata, Ketua Polis Daerah Selayar, Asisten Komisioner Didid Imawan dan Panglima Komando Daerah Tentera (Dandim) 1415/Selayar, Leftenan Kolonel Czi Yudo Harianto telah bertemu bagi membincangkan insiden tersebut.
Mereka bersetuju untuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang terlibat dalam insiden tersebut.
“Anggota polis Selayar yang terlibat dalam kemalangan itu turut digantung tugas,” katanya.
Sementara itu, Didid berkata, insiden itu hanya perselisihan faham dan ia sudah diselesaikan dengan pihak tentera.
“Polis Selayar dan Kodim 1415/Selayar dalam keadaan baik-baik sahaja,” katanya sambil menambah, semua pihak yang terlibat dalam insiden itu sudah diambil tindakan. – AGENSI