REMBAU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan telah memasang satu perangkap kamera di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini, semalam bagi mengesan kehadiran harimau kumbang di kawasan kebun getah.
Pengarahnya, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya telah menerima aduan tersebut kira-kira pukul 8 malam kelmarin dan segera mengambil tindakan memantau di lapangan bagi menyiasat kesahihan aduan tersebut.
“Saya dimaklumkan oleh Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Negeri Sembilan, selepas pemantaun yang kita tengah jalankan, disyaki harimau kumbang lalu di kawasan tersebut.
“Laluan tersebut merupakan kawasan kebun getah. Bagaimanapun, tiada kes kematian kambing atau binatang ternakan semasa pegawai membuat pemantauan di lapangan.
“Susulan itu, satu perangkap kamera telah di pasang untuk kita mengesahkan sekiranya aduan tersebut sahih harimau kumbang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujar Faizal Izham lagi, buat masa ini di lokasi aduan, tapak harimau kumbang tidak dapat dikenalpasti kerana struktur tanah yang keras menyukarkan pengecaman tapak di lokasi tersebut.- KOSMO! ONLINE