SEBERANG PERAI – Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta sebelum mangsa tercampak ke longkang sedalam satu meter di Kilometer 123.6 Lebuh Raya Utara Selatan, Kepala Batas di sini, malam tadi.
Mangsa lelaki berusia 30-an dilaporkan cedera pada kepala dan mengalami kepatahan telah dibawa ke hospital berdekatan menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 10.20 malam tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza. Terdapat seorang mangsa iaitu penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang yang berkedalaman satu meter.
“Komander Operasi membuat ‘size up’ dan kerja-kerja mengangkat mangsa dilakukan,” katanya di sini, hari ini.
Beritahu beliau lagi, mangsa telahpun diberi rawatan awal di lokasi kejadian dan seterusnya dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 11.02 malam tadi. -KOSMO! ONLINE