fbpx
GAMBAR HIASAN

Olahraga Malaysia tandus bakat jarak jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEGENDA jarak jauh negara, Sivalingam Muthiah menyifatkan kejayaan Kristian Tung memecahkan rekod kebangsaan 3,000 meter (m) baru-baru ini bukan sekadar detik bersejarah, sebaliknya isyarat jelas bahawa olahraga Malaysia sedang ketandusan bakat akar umbi.

Rekod lama miliknya berusia 40 tahun hanya dipadamkan di London minggu lalu apabila Kristian, 21, mencatat masa 8 minit 15.70 saat sekali gus menutup penantian hampir empat dekad untuk lahirnya pelari baharu di pentas antarabangsa.

“Selepas 40 tahun baru muncul seorang pelari mampu pecahkan rekod itu. Ia membuktikan kita sebenarnya lambat sangat melahirkan bakat baharu kerana tiada program akar umbi sistematik di Malaysia,” katanya.

Menurut Muthiah, kejayaan Kristian sebenarnya banyak dibantu pendedahan dan latihan di luar negara, berbeza dengan zaman lalu apabila atlet hanya berlatih dalam keadaan serba kekurangan.

“Sekarang Kristian berlatih di England, jadi masa depannya memang cerah. Dulu kami hanya berlatih dalam negara, di Cameron Highlands. Sebab itu kita perlu ada program pembangunan akar umbi yang tersusun kalau mahu lahirkan ramai pelari seperti dia,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ketiadaan sistem pembangunan konsisten menyebabkan Malaysia sekadar menunggu bakat muncul daripada sekolah sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, berbeza negara lain yang melahirkan pelari saban tahun hasil program akar umbi.

“Kalau tengok negara luar, mereka ada program latihan akar umbi setiap tahun, lahirlah bakat-bakat baharu. Kita pula hanya tunggu kalau ada yang menonjol di sekolah, itulah sebabnya bakat akar umbi kita semakin kurang,” katanya.

Bagaimanapun, Muthiah percaya Kristian boleh menjadi pemacu kebangkitan baharu olahraga negara, malah tidak menolak potensi atlet muda itu untuk membawa pulang pingat di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI