KUANTAN – Perjalanan pulang tiga rakan bersama keluarga selepas menghadiri kenduri kahwin di Melaka berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan kelmarin.
Nahas di Kilometer (KM) 142, Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Kampung Asli Bukit Serok di sini mengorbankan pemandu kereta Perodua Myvi, Aida Asmalia Abu Samah, 46, dan dua penumpang iaitu Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18, dan Chempaka Alara Azizi, 3.
Ibu Chempaka Alara, anak Aida Asmalia dan adik Siti Auni Syafiqa pula cedera parah.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah trak pikap.
Bapa Chempaka Alara, Azizi Abd. Karim,32, berkata, dia sempat berbual dengan isteri dan anaknya menerusi panggilan video kira-kira lima minit sebelum nahas tersebut berlaku.
“Anak cakap dia rindu saya. Saya terkilan kerana tidak sempat peluk dia,” katanya.
Isteri Azizi pula mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Cerita Azizi, ketika panggilan video itu dibuat, isteri dan anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia memaklumkan akan menjemput mereka sebaik tiba di Kuantan.
Katanya, dia mengetahui mengenai insiden itu selepas dihubungi nombor tidak dikenali yang memaklumkan isterinya terbabit dalam nahas. Chempaka Alara yang mesra dipanggil Bunga merupakan anak tunggal.
“Sejak Bunga dilahirkan, saya korbankan semua hobi termasuk memancing kerana mahu meluangkan lebih banyak masa dengannya,” katanya jurulatih renang itu.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik HTAA ketika Azizi keluar dari bilik mayat sambil memangku jenazah anaknya.
Azizi yang tidak dapat menahan sebak tiba-tiba rebah selepas memeluk dan mencium jenazah anaknya menyebabkan orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut turut mengalirkan air mata.
Jenazah Chempaka Alara dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Lapan, di sini, manakala jenazah Aida Asmalia dan Siti Auni Syafika masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi dan Setali, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki ke laluan bertentangan dan melanggar trak pikap.
“Akibatnya pemandu kereta maut di tempat kejadian, manakala dua penumpang kereta meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah,” katanya.
Tambahnya, tiga lagi penumpang kereta cedera parah, manakala pemandu trak pikap patah kaki kanan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE