PENDANG – Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memikat burung di Kampung Bukit Tok Chom, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mayat mangsa, Sahrulnizam Ramli, 53, beralamat di Kampung Hujung Ketun, dekat sini, ditemukan oleh orang awam.
“Polis menerima laporan daripada orang awam menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur pada pukul 9.55 pagi tadi.
“Pegawai penyiasat yang melakukan siasatan ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat kesan terbakar serta tiada sebarang tanda akibat perbuatan jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan penemuan mangsa yang juga merupakan seorang deejay itu menemukan sebatang galah yang telah diubah suai untuk memikat burung.
“Galah itu ditemui masih tersangkut di kabel elektrik bervoltan tinggi dan ketika kejadian ia digunakan mangsa untuk meletakkan sangkar bagi memikat burung. Turut dijumpai ialah sebuah motosikal milik mangsa jenis Modenas Kriss yang diletakkan tidak jauh dari kawasan kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, hasil temu bual dengan isteri mangsa mendapati lelaki itu keluar dari rumah mereka pada pukul 8.30 pagi dengan menunggang motosikal untuk memikat burung seorang diri- KOSMO! ONLINE