SEPANG – Kejayaan luar biasa kontinjen negara menjuarai Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta kini menjadi batu loncatan buat atlet negara untuk memburu sasaran lebih besar di Deaflympic Jepun pada November ini.
Malaysia menutup temasya dengan kutipan 25 emas, 16 perak dan 11 gangsa iaitu pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara yang sekali gus mengatasi rekod 15 emas pada edisi sulung 2022 di Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn berkata kejayaan itu hasil persiapan jangka panjang termasuk latihan pusat hampir setahun, ditambah sokongan kerajaan menerusi peruntukan khas sukan pekak dalam Bajet 2025.
“Kami sendiri tidak menjangka 25 emas. Ini bukti pengorbanan atlet, jurulatih dan ibu bapa yang sanggup berbelanja sendiri akhirnya membuahkan hasil. Latihan pusat sepanjang tahun dan sokongan kerajaan banyak membantu memantapkan prestasi,” katanya.
Menurut Shin Ruenn, kejayaan di Jakarta hanyalah pemanas badan sebelum misi lebih besar di Deaflympic selepas Malaysia sebelum ini meraih dua emas di Deaflympic lalu menerusi badminton beregu campuran dan trio boling wanita.
“Kami mahu bawa momentum sama ke Deaflympic November ini. Sasaran kami menambah sekurang-kurangnya satu lagi pingat emas, khususnya dalam olahraga yang kini semakin berkembang dengan adanya tiga jurulatih khusus di Sabah, Terengganu dan Perlis,” ujarnya.
Presiden itu turut menjelaskan kontinjen negara akan menjalani latihan awal di Jepun sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kejohanan bermula, bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan suasana pertandingan.
Beliau dalam masa sama berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif khas atau Shakam kepada atlet pekak sebagai ganjaran atas kejayaan luar biasa di Jakarta.
“Ganjaran ini penting untuk tingkatkan motivasi atlet kerana mereka juga berkorban masa, meninggalkan keluarga dan ada yang berhenti kerja demi mengharumkan nama negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE