TELUK INTAN – Sebuah kilang keropok ikan di Hutan Melintang di sini yang menggunakan logo halal tidak sah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sini pada pukul 11.30 pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak. Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan ke atas kilang memproses dan membekal keropok ikan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Teluk Intan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Hasil serbuan mendapati kilang tersebut sedang menjalankan aktiviti mengeluarkan produk keropok ikan serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik kilang gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sebanyak 880 kotak produk ikan yang menggunakan logo halal tidak sah telah disita.
“Nilai barang rampasan dianggarkan berjumlah RM40,299. Pada masa sama, pasukan penguat kuasa telah menemui sebanyak 1,750 liter minyak diesel dan 136 kilogram (kg) minyak masak peket di kilang tersebut.
‘Pemilik kilang didapati gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan penguat kuasa,” katanya.
Justeru, katanya, tindakan selanjutnya telah dilaksanakan dengan menyita minyak diesel dan minyak peket tersebut dan nilai barang rampasan dianggarkan berjumlah RM5,065.
“Dianggarkan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM45,364.
“Kes akan disiasat dibawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi kesalahan menggunakan logo halal tanpa pengesahan pihak berwibawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya. – KOSMO! ONLINE