KOTA BHARU – Kelantan menjadi negeri pertama membangunkan Sistem Penarafan Masjid Malaysia Dalam Talian (e-SPMM) sebagai platform penilaian kualiti meliputi masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim di seluruh negeri ini.
Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sistemyang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) itu berupaya meningkatkan tahap profesionalisme pengurusan masjid.
Menurutnya, sistem berkenaan turut mampu memperkukuhkan akauntabiliti dan memberi ruang untuk menambah baik pengurusan masjid secara berterusan.
“Sistem itu merupakan platform digital bersepadu untuk menilai, memantau prestasi masjid secara telus, sistematik dan boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan.
“Ia juga boleh diakses secara umum dengan memaparkan penarafan bintang bagi keseluruhan masjid di Kelantan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Kolokium Penarafan Masjid 2025 di sini hari ini.
Tengku Mohamad Rizam yang juga merupakan Yang Dipertua Maik berkata, Maik juga tampil sebagai negeri pertama melaksanakan program Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) apabila ia diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2009.
Katanya, sejak itu, Maik telah melaksanakan penarafan menyeluruh terhadap keseluruhan 615 masjid di seluruh negeri ini.- KOSMO! ONLINE