SHAH ALAM – Trend kahwin lambat di kalangan generasi muda menyumbang kepada kadar kesuburan wanita di Selangor yang mencatatkan purata melahirkan 1.5 anak ketika ini.
Kadar tersebut lebih rendah daripada paras penggantian generasi nasional iaitu 2.1 anak.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari berkata, statistik menunjukkan penurunan kelahiran anak sebanyak 7.2 peratus pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Jelas beliau, faktor penyusutan itu antaranya berpunca trend perkahwinan lewat dalam kalangan generasi muda terutama generasi Z.
“Ramai anak muda memilih untuk berkahwin lewat kerana mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi. Akibatnya, tempoh usia produktif semakin pendek sebelum mereka mencapai usia matang antara 40 hingga 45 tahun,” katanya selepas melancarkan Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) di sini, hari ini.
Menurut Anfaal, kerajaan negeri menyedari cabaran itu namun belum ada inisiatif khusus berkaitan kesuburan.
“Namun, sebuah pusat subfertiliti akan dibangunkan di Shah Alam dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Projek yang telah diluluskan dalam RMK-12 (Rancangan Malaysia ke-12) dan dijangka siap pada 2030 bakal memberi manfaat terutama kepada warga Selangor,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE