fbpx
Zaharah (dua dari kiri) bersama keluarganya menunggu operasi mencari mangsa (gambar kecil) yang lemas di Sungai Kelantan dekat Kampung Sat, Tanah Merah hari ini. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

Juruteknik sempat main layang-layang dengan 4 anak sebelum lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Seorang juruteknik elektrik sempat bermain layang-layang bersama empat anaknya sebelum lemas ketika menyelamatkan salah seorang anak perempuannya yang tergelincir ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Sat di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Mohd. Saifuldin Ramli, 46, masih belum dijumpai selepas hampir 19 jam hilang di dalam sungai tersebut.

Ibu mangsa, Zaharah Ahmad, 75, berkata, Mohd. Saifuldin membawa empat anaknya yang berusia enam hingga 11 tahun ke sungai berkenaan untuk bermain layang-layang kira-kira pukul 6 petang.

Menurutnya, sebelum ini anaknya tidak pernah membawa cucu-cucunya itu ke sungai tersebut

“Atas permintaan anak-anak, dia membawa mereka ke tepi sungai itu untuk bermain layang-layang yang dibeli dari sebuah kedai di kampung kami.

“Dia ada memaklumkan bahawa mahu pergi ke sungai bersama anak-anak. Anak perempuannya yang berusia 11 tahun tergelincir ke dalam sungai semasa bermain layang-layang dan Mohd. Saifuldin sempat menyelamatkan cucu saya, namun dia pula yang lemas,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Zaharah memberitahu, dia dan isteri Mohd. Saifuldin, Nurfadlina Mohamad terus ke sungai berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah selepas mengetahui anaknya itu lemas.

Sementara itu, Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd. Rosmaidi Baharuddin berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan bermula pukul 9 pagi tadi dalam radius 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah mengesahkan bahawa mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari masih dijalankan.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan anak perempuannya yang tergelincir ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Sat, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI