PENYANYI popular Baby Shima bimbang apabila terdapat peminat lelaki misteri yang terlalu obses terhadap dirinya sehingga mengugut mahu bunuh diri dengan meminum racun.
Bukan itu sahaja, individu terbabit turut menghantar mesej berbaur lucah ke akaun Instagramnya dan mendakwa dirinya cemburu melihat aksi Baby Shima bersama model-model mat salih dalam muzik video (MV) lagu Island Boi ciptaan Ezra Kong.
“Saya akui ini bukan kali pertama menerima mesej yang pelik-pelik macam ni. Biasanya saya anggap semua itu hanya usikan atau gurauan peminat.
“Namun, peminat kali ini agak merisaukan saya. Betul. Sebenarnya dia dah banyak kali mesej di Instagram (IG) saya, tapi apabila dia cakap mahu bunuh diri dan minum racun, saya jadi takut.
Obses
“Bukan itu sahaja, caranya yang terlalu obses (mesej berbaur lucah) terhadap saya dan meluahkan perasaan sayangnya, saya berasakan dia seorang yang gila seks dan psiko. Saya tak tahu apa yang dia bayangkan apabila tengok saya dalam MV Island Boi sampai terlalu obses.
“Katanya dia dah lama minat saya sehingga rasa cemburu tengok saya bersama model-model lelaki dalam MV lagu baharu saja iaitu Island Boi.
“Takkanlah disebabkan rasa cemburu dia, saya nak kena ‘korbankan’ lagu ini. Bukan bajet kecil untuk MV ini. Lagi pun aksi manja saya hanya untuk MV Island Boi, bukannya betul-betul pun. Hanya lakonan semata-mata,“ katanya.
Dalam masa yang sama, Shima juga akui terdapat komen-komen yang kurang menyenangkan apabila ada pihak yang menyalahkan dirinya.
Katanya, aksi Shima dalam MV itu yang mendorong lelaki tersebut jadi gila seks.
“Tuduhan berat tu. Bagi saya, seseorang itu jadi gila seks bukanlah terjadi dalam waktu yang singkat. Ramai juga lelaki lain yang tonton MV itu, tetapi tak ada pun yang terlalu obses. Mereka relaks saja,” ujarnya.
Ketagihan
Menurut doktor yang juga penceramah kesihatan, Dr. Afif Mohd. Ridzwan, ketagihan seks dalam kalangan netizen memang wujud.
Menurutnya, ketagihan seks ini adalah hiperseksual atau sex maniac yang termasuk dalam kategori penyakit mental jika tidak terkawal dan menjejaskan kehidupan.

“Dari sudut pandangan saya sebagai seorang doktor, jangan salahkan Baby Shima jika ada lelaki gila seks ‘serang’ dia. Lelaki seperti ini boleh ‘serang’ sesiapa sahaja tak kira artis atau bukan.
“Ini kerana sifat ketagihan terhadap seks dalam diri seseorang itu berlaku bukan dalam masa yang singkat dan banyak faktor lain yang menjadi punca.
“Ada punca-punca tertentu yang berlaku kepadanya sehingga membawa kepada ketagihan seks. Ia memerlukan masa.
“Pertamanya, ketagihan seks ini merupakan satu gangguan kepada pemikiran seseorang itu suka berfantasi tentang seks yang berulang-ulang, melakukan tingkah laku seks yang tak terkawal dan sebagainya.
“Kedua, mungkin juga seseorang itu menghidap bipolar disorder (perubahan mood yang ekstrem) yang boleh menyebabkan ketagihan seks. Individu ini mengalami peningkatan drastik dalam dorongan seks, sukar mengawal diri dan mempunyai tingkah laku seksual yang berisiko serta sukar dihentikan,” katanya.
Menurut Dr. Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Rawatan Al Farhain, punca ketagihan seks boleh berlaku disebabkan faktor-faktor seperti pendedahan kepada pornografi, masalah emosi, genetik, dan tekanan sosial, yang boleh menyebabkan seseorang itu melakukan aktiviti seks secara kompulsif dan berlebihan meskipun tahu ia boleh mendatangkan mudarat.