fbpx
Johari ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian IRICE 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre di sini, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Isu pembahagian kerusi BN belum tiba masanya dibincang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) belum membincangkan soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana tumpuan kini diberikan kepada usaha menjaga kestabilan politik serta memperkukuh ekonomi negara.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, PRU hanya dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi dan tidak wajar isu berkenaan dibangkitkan terlalu awal.

“Soal itu panjang cerita, kita bincang kemudian kerana pilihan raya masih jauh. Buat masa ini, yang lebih penting adalah bagaimana hendak menjaga ekonomi negara dan memastikan kestabilan politik terus terpelihara,” katanya.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan MCA yang menegaskan akan bertanding secara solo sekiranya tidak diberikan kerusi dalam PRU akan datang.

Menurut beliau, BN yang kini hanya mempunyai 30 kerusi di Parlimen perlu akur dengan kekangan dalam agihan kerusi memandangkan kerajaan yang ada pada hari ini dibentuk menerusi gabungan perpaduan.

Terdahulu, media melaporkan bekas Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek menyifatkan langkah itu wajar sekiranya BN kekal berpegang kepada peraturan yang hanya membenarkan parti penyandang bertanding di kerusi yang mereka menangi.

Malah, terdapat juga segelintir pihak dalam MCA yang menyokong gesaan supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Madani, bertanding secara solo pada PRU akan datang dan meninggalkan BN sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI