fbpx
Saifuddin Nasution ketika berucap pada Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Pusat Konvesyen Sime Darby, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

Hampir 12,000 ‘scammer’ ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sebanyak 31,949 kes penipuan dalam talian membabitkan nilai RM1.5 bilion dengan 11,864 individu berjaya ditahan, tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan itu adalah hasil lebih 10,000 operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

“Usaha membanteras jenayah siber tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan, sebaliknya turut melibatkan strategi jangka panjang, kerjasama serantau serta kolaborasi antara sektor awam dan swasta.

“Kejayaan ini membuktikan polis bukan sahaja sebuah agensi penguatkuasaan, tetapi institusi moden yang menggerakkan daya tahan negara,” katanya pada Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Pusat Konvesyen Sime Darby, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi salah satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh keberkesanan polis berdepan jenayah siber.

“Kita komited meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan melalui pemodenan infrastruktur, pengembangan kapasiti serta sokongan rentas sektor,” katanya.

Mengulas mengenai dialog khas PDRM, Saifuddin menjelaskan ia memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara merangkumi perlindungan data serta kesedaran siber.

“Kerjasama antara agensi amat penting bagi menghadapi jenayah siber yang semakin kompleks.

“Peranan JSJK sebagai benteng utama jenayah komersial juga perlu terus diperkasa kerana ia bukan sahaja melindungi ekonomi negara, malah meningkatkan keyakinan rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI