PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa terkilan apabila suaminya sanggup berbelanja besar membelikan aiskrim mahal untuk rakan perempuannya, namun berkira-kira apabila isteri sendiri meminta perkara sama.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, luahan perasaan wanita itu dicetak bersama resit pesanan yang dibuat secara dalam talian kepada kedai aiskrim berkenaan.
Turut kelihatan, harga aiskrim yang dibeli oleh wanita itu berharga RM58.
Menurutnya, apa yang membuatkan dirinya lebih terasa ialah pengorbanannya menjaga anak kecil dan menyusukan bayi tidak dihargai malah juga sanggup berlapar kerana memikirkan kewangan suaminya.
“Saya tak pernah order ni. Saya selalu jimat dan sayang untuk beli aiskrim malah, tapi saya order sebab sakit hati suami belikan aiskrim mahal untuk kawan perempuan dia.
“Dahlah akhir bulan aku berlapar tengah menyusukan anak, aku fikir dia tiada duit. Rupa-rupanya dia ada duit, sanggup belikan aiskrim mahal untuk perempuan lain,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna bersimpati dengan nasib wanita berkenaan selain ada juga yang berkongsi pengalaman sama.
“Untuk semua perempuan bergelar isteri tak payah berlapar untuk suami, makan je apa nak minta paksa suami beli kan. Bila jadi macam ni sia-sia saja berkorban lapar akhirnya jantan tak guna belanja betina lain,” kata Asrul.
“Kena belajar hargai diri sendiri. Berkorban biar kena pada tempat,” kata Merina.
“Semoga kakak ini selalu dimurahkan rezeki dan baby nanti jadi anak yang soleh dan solehah besar nanti banyak duit tau.. bawa ibu makan sedap-sedap,” kata Bai Nun. – KOSMO! ONLINE