LONDON – Bintang baharu Arsenal, Eberechi Eze sudah tidak mempunyai banyak masa untuk mencari keserasian kerana bakal menjadi taruhan penting oleh pengurus pasukan, Mikel Arteta pada aksi menentang Liverpool di Anfield pada Ahad ini.
Berdasarkan laporan semasa, The Gunners kini dilanda malapetaka apabila dua tonggak utama pasukan, Martin Odegaard dan Bukayo Saka mengalami kecederaan, malah hampir pasti tidak dapat menyertai pasukan bertemu The Reds.
Kedua-dua pemain itu tidak dapat menamatkan aksi ketika menang 5-0 ke atas Leeds United di Emirates pada Ahad lalu, malah dilema Arteta semakin memuncak apabila Kai Havertz juga sedang bergelut dengan isu kecederaan lutut.
Walaupun berbelanja besar pada musim panas kali ini, situasi itu memberi tamparan hebat kepada Arsenal yang dikatakan memiliki tiga alternatif lain sebagai pelan sokongan bagi mengharungi musim penuh mencabar.
Odegaard diakui seorang pemain yang sukar digantikan, namun kreativiti Eze mungkin boleh dimanfaatkan di posisi tengah untuk bergandingan dengan Declan Rice selain Noni Madueke diberikan kepercayaan mengambil alih alih tempat Saka di sayap kanan.
Keduanya, Arsenal membawa masuk Ethan Nwaneri ke bahagian tengah seperti dilakukannya semasa menentang Leeds dan menolak Eze ke posisi sayap kiri
Ketiganya, Arteta yang sudah menunjukkan keberanian ketika berdepan isu kecederaan musim lalu, wajar mempertimbangkan idea untuk meletakkan Eze berhampiran dengan penyerang, Viktor Gyokeres sama peranan dimainkan oleh Leandro Trossard sebelum ini. – AGENSI