PUTRAJAYA- Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS3) ke laluan Johor Bahru dijadualkan beroperasi bermula Disember depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat masa ini, kerja-kerja infrastruktur dan fizikal telah siap, namun kerja-kerja sistem isyarat masih berjalan.
Beliau berkata, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan pembukaan laluan baharu ETS itu dan berharap ia dapat beroperasi sepenuhnya akhir tahun ini.
“Pembukaan laluan baharu ini diharap dapat meningkatkan mobiliti rakyat terutama bagi laluan ke selatan tanah air,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan peringkat Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Katanya, pengoperasian ETS3 laluan Johor Baharu adalah antara dua projek perkhidmatan awam yang diberi tumpuan oleh pihaknya menjelang akhir tahun ini.
Sebelum ini Loke memaklumkan, ETS3 bagi laluan selatan sehingga ke stesen Kluang (Johor) akan mula beroperasi pada 30 Ogos ini.
Menurutnya, ia membabitkan laluan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) – Kluang – KL Sentral.
Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan berangkat merasmikan ETS3 bagi laluan selatan pada Sabtu lalu.
Fasa pertama ETS3 dari Gemas ke Segamat telahpun beroperasi dan fasa dua pula membabitkan laluan Kluang manakala, fasa terakhir ke Johor Bahru Sentral (JB Sentral).
Dalam pada itu, Loke juga memaklumkan, operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi laluan Klang ke Petaling Jaya juga dijangka dapat beroperasi pada akhir tahun ini.
“Sepatutnya, laluan itu dijadual beroperasi pada akhir suku ketiga tahun ini namun, beberapa ujian yang masih perlu dilakukan maka ada
sedikit kelewatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE