JOHOR BAHRU – Dua pengawal keselamatan dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berbeza di sini hari ini atas pertuduhan menyamar polis dan memeras ugut pasangan kekasih dalam satu kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh, Mohamad Syafiq Zakaria, 29, dan Mohamad Sulaiman Ab. Rahman, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam dan Latifah Hazimah Wahab.
Di hadapan Nabilah, kedua-duanya didakwa menyamar polis ke atas dua individu iaitu seorang lelaki dan perempuan berusia 20 tahun dengan memegang ‘kad holder’ bertulisan PIKM Pengawal Keselamatan nama Sulaiman sambil mengatakan ‘Polis, keluar dari kereta sekarang’.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang di sini, kira-kira pada pukul 11.30 malam, 21 Ogos lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Manakala di hadapan Atifah Hazimah, mereka didakwa mendatangkan ketakutan dengan tujuan hendak melakukan pemerasan ke atas individu lelaki tersebut sehingga mangsa mengalami kerugian RM2,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah dekat Jalan Duku 14, Taman Kota Masai, Pasir Gudang di sini pada masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif dan Nik Noratini Nik Azman masing-masing meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan.
Kedua-dua majistret kemudian membenarkan Mohamad Syafiq dan Mohamad Sulaiman diikat jamin dengan jumlah RM8,000 masing-masing, selain turut menetapkan tarikh 12 September untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE