fbpx
Gambar hiasan

Dewan Rakyat: KPM pinda peraturan berkaitan anak tanpa dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Peraturan sedia ada bakal dipinda bagi membolehkan kanak-kanak tanpa dokumen dibenarkan ke sekolah serta mendapat akses kepada pendidikan yang baik dan berkualiti.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini wujud beberapa kekangan seperti keperluan memiliki dokumen dan pengenalan diri yang perlu mendapatkan pengesahan beberapa agensi.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa peraturan yang mesti dipinda dan dilihat sebagai progresif untuk membantu anak-anak ini,” katanya ketika menjawab soalan Senator Abun Suit Anyit di Dewan Negara di sini hari ini.

Fadhlina berkata, sekolah bimbingan jalinan kasih di Kota Kinabalu, Sabah yang khusus membantu anak-anak tanpa dokumen bersekolah dan mendapat pendidikan rasmi boleh dilanjutkan ke kawasan lain.

Menurutnya, beliau boleh meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menyediakan data berkaitan supaya ia boleh diperluas termasuk di Sarawak.

Sementara itu,Fadhlina memaklumkan, program Anak Kita yang dilaksana KPM menunjukkan keberhasilan memberangsangkan bagi meningkatkan penguasaan asas 3M.

Kata beliau, program itu berjaya membantu seramai 15,543 murid di seluruh negara keluar dari kelas pemulihan sehingga Jun lalu.

Jelasnya, bagi program Pecutan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, seramai 8,855 daripada 9,906 murid (89 peratus) daripada 343 sekolah lulus dan layak menerima sijil SPM.

Beliau berkata, murid terlibat menunjukkan peningkatan gred signifikan dalam subjek teras dengan seramai 7,425 murid (75 peratus) menunjukkan peningkatan gred bagi mata pelajaran Sejarah.

“Seramai 6,196 (63 peratus) murid bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan 5,646 (57 peratus) murid bagi mata pelajaran Matematik,” katanya.

Selain itu, kata beliau, program intervensi bagi kohort SPM 2025 memanfaatkan 20,000 murid yang menerima tablet bersama data untuk mengikuti kelas tuisyen dalam talian sejak Februari lalu.

“Dalam usaha menangani isu keciciran pembelajaran, program ini mencatatkan kadar kehadiran murid yang amat tinggi iaitu 99 peratus untuk peperiksaan SPM 2024.

“Ini disokong oleh pembangunan Program Cicir Sistem yang bermatlamat untuk mengembalikan murid ke sekolah dan memastikan mereka kekal bersekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI