KUALA PERLIS – Cubaan seorang tekong warga Thailand menyeludup petrol ke negara jiran gagal apabila bot kayu yang dikendalikannya ditahan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, bot ronda APMM mengesan sebuah bot asing tanpa nombor pendaftaran pada jarak 0.32 batu nautika dari barat Pulau Ketam selepas menerima maklumat risikan ketika rondaan Operasi Aman dan Operasi Tiris dijalankan.
“Hasil pemeriksaan awal, suspek mendakwa hanya membawa tong kosong, namun pemeriksaan lanjut menemukan 20 tong berisi petrol dianggarkan 450 liter.
“Bot berkenaan dikendalikan seorang tekong berusia 25 tahun dari Thailand dan dipercayai cuba menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran menggunakan laluan laut yang sunyi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa dokumen sah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan petrol dianggarkan lebih RM17,000.
“Suspek bersama hasil rampasan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE