JAKARTA – Beberapa anggota bomba dan penyelamat di Sukabumi, wilayah Jawa Barat mengundang perhatian orang ramai apabila memadamkan kebakaran pada sebuah motosikal dengan memakai baju ‘kelawar’, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku di hadapan Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Palabuhanratu, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @yogafirmansyah803 menunjukkan beberapa anggota bomba berlari ke lokasi kejadian sambil memakai baju ‘kelawar’.
Mereka sanggup berlari dengan memakai selipar dan tidak menukar pakaian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan.
Difahamkan, anggota bomba tersebut sedang menyertai pertandingan lumba lari sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-80.
Rakaman itu mencatatkan lebih 8.8 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kalau gaji bomba 3 juta rupiah (RM778) sehari, rakyat terima dengan ikhlas,” kata seorang netizen. – AGENSI