PETALING JAYA – Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memuji bakat salah seorang peserta program terbaru Astro, Talk To My Manager iaitu Auddra yang merupakan anak kepada Sharifah Shahirah.
Siti dilihat meninggalkan komen pujian terhadap Auddra atau nama lengkapnya Auddra Zulkifly pada sebuah video dalam Instagram.
“Boleh pergi jauh Oddah ni,” tulis Siti beserta emoji tepuk tangan.
Lebih menarik, Auddra atau lebih mesra dengan panggilan Oddah itu merupakan ‘anak angkat’ Siti.
Selain Siti, ramai lagi selebriti dilihat memberikan sokongan kepada Auddra antaranya Nurul Wahab, Azza Elite, Aisha Retno dan Ajak Shiro.
“Anak TokTi ni dari kecil dah dicium-cium. Terkenang bakat ni. Saya masih ingat,” komen Nurul Wahab.
Auddra berjaya memukau barisan juri serta penonton menerusi persembahan bertenaga menyampaikan lagu popular Like Jennie.
Netizen turut kagum dengan kemampuannya menyampaikan lagu bahasa Korea dengan baik.
Turut mendapat pujian ialah ibunya, Sharifah Shahirah yang dilihat berjaya menjalankan tugas sebagai ‘manager’.
Talk To Manager mula bersiaran sejak Ahad lalu membariskan lapan peserta terdiri daripada anak-anak selebriti popular tanah air yang menunjukkan bakat dalam bidang nyanyian termasuk anak saudara Siti sendiri, Amad, anak kedua Siti Saerah.
Peserta lain terdiri daripada Thalita (anak Shuib), Ara ( anak Aziz M. Osman), Hadie (anak Ina Naim), Ammar (anak Ameng Spring), Marsha (anak Liza Hanim) dan Athalia (anak Sharifah Zarina). – KOSMO! ONLINE