MELAKA – Seorang penuntut lelaki tahun akhir sebuah kolej perubatan swasta parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.42 malam itu, mangsa yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala akibat kesan hentakan dan pendarahan di kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, menurut saksi yang juga rakan serumahnya, mangsa dilihat keluar dari bilik mandi secara melulu dalam keadaan berbogel sebelum tiba-tiba terjatuh di beranda di tingkat lima.
“Mangsa berasal dari Shah Alam, Selangor dan tinggal bersama tiga rakannya di rumah sewa berkenaan.
“Menurut saksi, mangsa seorang yang baik hati dan selalu menolong rakan-rakannya, hasil siasatan kita percaya pelajar ini mempunyai gangguan mental kerana difahamkan dia kerap mendengar bisikan-bisikan halus,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, semakan lanjut turut mendapati mangsa pernah mengalami kemalangan sama di Muar, Johor pada 2023.
“Mangsa kini dilaporkan berada dalam kritikal dan sedang dirawat di Hospital Melaka,” katanya.-KOSMO! ONLINE.