fbpx
JUN HAO perlu cepat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang didakwa sedikit berangin di Adidas Arena.

Angin jadi ‘lawan tambahan’ pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD badminton negara bakal berdepan cabaran tambahan di Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis yang bermula semalam apabila tiupan angin di Adidas Arena dilihat mampu menggugat fokus pemain di atas gelanggang.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen, keadaan itu dikesan ketika sesi ujian gelanggang kelmarin dan menuntut pemainnya bijak menyesuaikan dengan corak permainan masing-masing.

“Persiapan kami berjalan lancar dan dua hari terakhir ini kami gunakan sepenuhnya untuk menyesuaikan diri dengan dewan utama.

“Cuma terdapat sedikit tiupan angin dari satu hujung gelanggang dan juga dari sisi. Ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana dalam arena moden sebegini, perkara seperti ini memang dijangka berlaku,” katanya.

Begitupun, beliau tetap yakin dengan persiapan rapi telah dijalani anak-anak buahnya terutama kem latihan intensif selama seminggu di Copenhagen, Denmark bermula 18 Ogos lalu.

Ujarnya, fokus utama turut diberikan kepada perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang mendapat peluang berharga untuk berlatih dengan beberapa pemain elit Denmark termasuk bintang terkemuka, Anders Antonsen.

“Latihan di Denmark sangat berkualiti. Kami dapat sparring yang kuat, pemain beri tumpuan tinggi dan keseluruhan intensiti latihan sangat baik,” jelasnya.

Jonassen turut mengingatkan agar Jun Hao dan perseorangan wanita, K. Letshanaa agar turun ke gelanggang dengan tahap keyakinan mental yang tinggi serta percaya kepada segala kerja keras telah dilalui sepanjang kem latihan.

“Sasaran saya sentiasa untuk melihat sama ada pemain boleh mempamerkan tahap terbaik mereka di kejohanan besar seperti ini. Keyakinan memang bersifat individu, tetapi mental kena kuat untuk beri segalanya di atas gelanggang,” katanya.

Turut melengkapkan cabaran perseorangan di pusingan pertama hari ini adalah pemain profesional negara, Goh Jin Wei yang bakal berdepan ujian getir menentang wakil China yang merupakan pilihan ke-14, Gao Fang Jie. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI