PETALING JAYA – Pelakon sensasi Abby Abadi sekali lagi mencuri tumpuan apabila secara terbuka mendoakan agar anaknya dapat keluar dari sebuah hubungan yang disifatkan sebagai tidak sihat atau toksik.
Tanpa menyebut nama, perkongsian Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, dipercayai bersuara mengenai perkahwinan anak perempuannya, Marissa Dania bersama Ahmad Aslam.
“Ya, saya doakan anak saya berjaya keluar dari hubungan toksik itu.
“Anak saya perlu diselamatkan dari hubungan toksik itu. Aminkan ya,” katanya dalam InstaStory.
Malah, Abby turut menyindir segelintir pihak yang sering menghentam dirinya setiap kali isu peribadi Marissa menjadi bualan umum.
“Tulis di sini biar ‘acik-acik’ (mak cik) yang maki hamun sepanjang zaman itu puas hati.
“Cepat doakan sama,” jelasnya.
Pada masa sama, pelakon drama bersiri Gerak Khas itu turut memaklumkan sering mendoakan kesejahteraan anak perempuannya.
“Adik selalu ada dalam doa mama,” tuturnya.
Baru-baru ini, Abby berkongsi tangkap layar komen netizen meminta Marissa yang diminta meninggalkan kehidupan poligami seterusnya memulakan perjalanan hidup baharu.
Ada juga berpendapat Marissa yang baru berusia 20 tahun dilahirkan sempurna dengan rupa paras cantik itu layak memiliki kehidupan lebih baik berbanding memegang gelaran isteri nombor dua.
Dalam masa sama, Abby turut membalas dan bersetuju dengan komen netizen yang meminta Marissa mengundur diri dengan mencari jodoh lain berstatus golongan kenamaan, sekali gus membiarkan menantu, Aslam bahagia bersama isteri pertama dan tiga anak mereka.
Terdahulu, Marissa selamat bergelar isteri kedua kepada Ahmad Aslam selepas mereka berkahwin di di Songkla, Thailand pada Disember 2023.
Ketika itu, lelaki terbabit sudah memiliki seorang isteri, Umisya dan tiga cahaya mata. – KOSMO! ONLINE