PETALING JAYA – Setahun selepas kejadian tanah jerlus yang menggemparkan negara, anak kepada wanita warga India yang terkorban dalam tragedi itu kembali ke Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu bagi upacara memperingati kematian ibunya.
Lelaki itu melakukan ritual keagamaan di lokasi ibunya, Vijayalakshmi, 48, dilaporkan jatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter pada 23 Ogos 2024.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, lelaki tersebut turut memberi makanan kepada orang awam dipercayai sebahagian daripada adat dan simbol penghormatan kepada mendiang ibunya.
Dalam kejadian itu, Vijayalakshmi yang berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, sedang berjalan di laluan pejalan kaki sebelum terjerlus ke dalam lubang berhampiran Masjid India.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejurus selepas kejadian itu bagaimanapun tidak menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa.
Pada 31 Ogos 2024, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa mengumumkan operasi SAR terpaksa dihentikan disebabkan faktor risiko di kawasan kejadian. – KOSMO! ONLINE
@sarvaessrashbinrajappa #100000 #views ♬ original sound – Maithili