BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun membawa misi besar untuk memburu gelaran juara dunia apabila turun dengan keyakinan baharu di Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis bermula hari ini.
Pasangan nombor tujuh dunia itu mengakui persiapan kali ini lebih rapi berbanding penampilan sulung mereka di Copenhagen tahun lalu apabila terkandas di pusingan ketiga.
“Saya rasa sekarang kami sudah lebih bersedia untuk dua minggu ini. Untuk Kejohanan Dunia, kami mahu bermain dengan bebas dan pastikan prestasi dapat dikekalkan. Harapan kami sudah tentu untuk bawa pulang pingat buat Malaysia,” kata Wei Chong.
Kai Wun pula menambah pengalaman sebelum ini banyak membantu mereka meningkatkan tahap permainan selain mendapat kelebihan sebagai beregu pilihan kali ini.
“Dulu mungkin kami tiba-tiba masuk ke kejohanan, tapi sekarang lebih bersedia dan standard pun makin meningkat sedikit. Kali ini kami ada kedudukan seeded, jadi peluang cukup besar untuk kami manfaatkan,” katanya.
Gandingan itu enggan tunduk kepada tekanan di pentas berprestij dunia, sebaliknya berazam menjadikan suasana getir di Paris sebagai medan membuktikan kemampuan sebenar mereka.
“Jangan terlalu banyak berfikir kerana itu hanya menambah tekanan pada diri sendiri. Kami mahu kekal tenang di gelanggang dan fokus untuk beri aksi terbaik,” jelas Wei Chong.
Beregu negara itu mendapat bye di pusingan pertama sebelum menentang pasangan tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior Popov di pusingan kedua.
Cabaran lebih getir menanti di pusingan ketiga apabila mungkin berdepan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy atau beregu Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.
Sekiranya berjaya melepasi halangan itu, laluan sukar menanti di suku akhir apabila dijangka bertembung beregu nombor satu dunia, Seo Seung Jae-Won Ho yang sering menjadi batu penghalang kepada beregu lelaki negara. – KOSMO! ONLINE