fbpx

Sudah tiba masa Akmal dan DAP hentikan kebodohan ini – Lokman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Sudah tiba masanya untuk Akmal (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh) dan DAP hentikan kebodohan ini.”

Demikian teguran keras Ketua Sekretariat Media Kerajaan Perpaduan yang juga Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Menurut beliau, pergaduhan berterusan Pemuda UMNO dan DAP bukan sahaja memalukan, malah satu tindakan ‘bunuh diri’ dari segi politik.

Katanya, rakyat tidak dapat menahan daripada menggeleng kepala melihat drama politik yang berlaku dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Rakyat mengharapkan kepimpinan yang matang ketika krisis, bukan pergaduhan kebudak-budakan yang melemahkan kerajaan.

“Sudah tiba masa Akmal dan DAP hentikan kebodohan ini sekali dan untuk selamanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pertelingkahan terbaru yang sedang memuncak antara Pemuda UMNO dan DAP berhubung isu Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik.

Untuk rekod, konflik turut tercetus antara Dr. Muhamad Akmal dan Lokman Noor selepas Lokman Noor didakwa menggelar Dr. Muhamad Akmal sebagai ‘Ketua Pemuda H20’

H20 dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyebabkan Dr. Muhamad Akmal mencabar Lokman untuk berlawan di mahkamah atau gelanggang.

Lokman Noor berkata, pergaduhan antara Pemuda UMNO dan DAP sama ada secara sengaja atau tidak telah menjadikan Dr. Muhamad Akmal ‘wira’ di mata ramai pengundi Melayu.

Kata beliau, pergaduhan itu juga secara tidak langsung memberi peluru politik kepada pembangkang lebih daripada apa yang mereka pernah impikan.

“Apa yang dicapai daripada semua ini? Tiada apa-apa selain mengukuhkan kedudukan Akmal sambil bermain terus ke tangan pembangkang. Siapa sebenarnya yang menang dalam semua ini? Pembangkang.

“Politik mereka hidup atas isu kaum dan agama dan kini Pemuda UMNO dan DAP sedang melakukan kerja keras itu untuk mereka.

“Setiap pertelingkahan menjadikan Akmal kelihatan lebih kuat, menjadikan Kerajaan Madani kelihatan bodoh dan menolak majoriti Melayu semakin jauh dari pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Lokman Noor yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pertelingkahan antara Pemuda UMNO dan DAP itu turut menjauhkan bukan Melayu daripada UMNO.

Ujar beliau, jika keadaan itu berterusan, usaha untuk meyakinkan rakyat supaya terus menyokong Kerajaan Perpaduan akan menjadi tugas yang mustahil.

“Adakah ini yang Pemuda UMNO dan DAP mahu? Bermain tarik tali sehingga tali itu putus dan seluruh kerajaan rebah ke kerusi pembangkang? Jika itu rancangannya, tahniah, anda sudah separuh jalan ke arah kehancuran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI