PETALING JAYA – Rasa sakit, kekecewaan akibat perpisahan sama putus cinta, tunang atau perceraian suami isteri biasanya memerlukan tempoh tertentu untuk pulih tergantung kepada pendekatan individu.
Pernah melalui banyak fasa perpisahan dalam hidupnya, pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira mendedahkan mengambil masa selama lapan tahun untuk ‘move on’ sewaktu putus tunang dengan bintang rock ternama, Awie satu ketika dahulu.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Check, 52, selama lapan tahun dia mencuba sedaya supaya untuk tidak bertembung dengan bekas tunangnya itu di mana-mana acara.
“Kami berpisah dengan cara yang tak ‘best’. Jadi kami saling elak mengelak dan tidak bertegur sapa selama lapan tahun.
“Pernah kami terlibat dalam satu persembahan yang sama, tetapi saya pastikan kami tidak bertembung di belakang pentas. Saya akan lari kalau nampak Awie.
“Ketika itu saya mahu menjaga hati kerana takut terluka,” katanya dalam sebuah rancangan audio siar.
Namun kata pelakon yang mendapat jolokan Primadona filem negara itu, semuanya berubah selepas dia menerima undangan sebuah program yang dihoskan oleh Awie.
“Selepas lapan tahun saya rasa saya sudah okey dan ‘move on’. Saya rasa sampai bila saya nak kena lari. Jadi saya terima untuk terlibat dalam program yang dihoskan oleh Awie.
“Tak dapat dinafikan saya berdebar ketika itu. Saya pasti Awie juga berasakan perasaan yang sama sebab kali pertama nak bertemu selepas sekian lama.
“Tetapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Ketika itu juga Awie terus lamar saya untuk terlibat dalam sebuah projek,” kongsinya.
Untuk rekod, Erra dan Awie pernah menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun dan mengikat tali pertunangan pada 1997. Namun ikatan tersebut terlerai pada 1998.
Kedua-dua mereka pernah mencipta fenomena selepas membintangi filem pecah panggung, Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam. – KOSMO! ONLINE