PETALING JAYA – Satu kejadian gangguan elektrik melanda beberapa kawasan di Petaling Jaya termasuk Bandar Utama dan kawasan sekitarnya hari ini.
Menerusi beberapa perkongsian di laman media sosial, kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi turut menyebabkan bekalan elektrik di kawasan perumahan serta pusat beli-belah terputus.
“Satu Bandar Utama blackout, semua berpusu balik,” kata pengguna Thread, fzrlsfwn.
Sementara itu, seorang pengguna laman X turut meluahkan perasaan lega kerana tidak bekerja hari ini susulan bimbang terpaksa turun menggunakan tangga dari pejabatnya.
“Nasib baik lah tak masuk office hari ini. Satu Bandar Utama blackout. Tak pasal-pasal nak kena turun guna tangga dari level 23,” kata Danny.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan di Facebook mengesahkan berlaku gangguan bekalan elektrik sedang berlaku di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, Selangor.
Katanya, pasukan teknikalnya sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik.
“Kesabaran anda amat kami hargai dan segala kesulitan amat dikesali,” katanya. – KOSMO! ONLINE