fbpx
Sabrina yang merupakan pelajar di KV Ampangan, Negeri Sembilan ingin membuktikan bahawa kaum Hawa juga hebat dalam bidang automotif.

Sabrina ‘juara’ baik pulih enjin, ingin ikut jejak bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA wanita lain memilih untuk mendalami bidang kemahiran yang lebih sinonim dengan kaum Hawa, ia tidak bagi Nur Najma Sabrina Mohd Hairi.

Dia yang mesra dengan panggilan nama Sabrina memilih untuk mengambil bidang automotif yang banyak didominasi oleh kaum lelaki dengan mengikuti Diploma

Teknologi Automotif di Kolej Vokasional (KV) Ampangan di Seremban, Negeri Sembilan.

Sabrina mengakui, dia minat dalam bidang itu sejak kecil dan ia banyak dipengaruhi oleh bapanya yang merupakan pemilik bengkel kenderaan berat di Seremban.

“Ayah yang banyak mendorong saya untuk terlibat dalam bidang automotif ini.

“Sejak kecil ayah selalu bawa saya datang ke bengkel, jadi lama-kelamaan timbul minat saya di dalam bidang ini,” katanya yang baru berusia 18 tahun kepada K-Kampus.

Kongsinya, selepas tamat tingkatan tiga, dia memilih untuk memulakan pengajian di KV Ampangan dengan mengambil Sijil Teknologi Automotif sebelum menyambung ke peringkat diploma.

Dalam kursus yang diikuti, hanya dua orang pelajar perempuan, manakala majoriti adalah lelaki.

Itu tidak menjadi masalah kepadanya kerana sebagai seorang wanita dia ingin membuktikan bahawa kaum Hawa juga boleh terlibat dalam bidang yang majoritinya lelaki.

“Cabaran sebagai wanita dalam bidang ini ialah bersaing dengan tenaga lelaki.

“Tapi saya anggap ia satu motivasi untuk buktikan kemampuan bahawa wanita juga mampu untuk melibatkan diri dalam bidang automotif,” ujarnya.

Sabrina (tengah) berjaya meraih johan bagi pertandingan KV Skills 2025 peringkat zon Melaka dan Negeri Sembilan untuk kategori baik pulih enjin.

Di KV Ampangan, Sabrina lebih banyak mendalami bidang membaik pulih kenderaan ringan seperti kereta.

Namun pada masa lapang, dia akan turun membantu ayahnya di bengkel yang membaiki jentera berat.

“Kalau cuti atau ada masa lapang, saya akan turun ke bengkel ayah untuk membantunya dan sambil belajar daripadanya.

“Banyak yang saya belajar daripada ayah dan untuk masa hadapan saya juga ingin mengikut jejak langkah ayah dengan mempunyai bengkel sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, selain sibuk dengan pembelajaran, Sabrina juga aktif menyertai pertandingan kemahiran.

Malah, baru-baru ini juga dia berjaya muncul sebagai johan untuk pertandingan KV Skills peringkat zon Melaka dan Negeri Sembilan untuk kategori baik pulih enjin. Dia menewaskan semua peserta lelaki.

Kemenangan itu juga membolehkannya untuk menyertai pertandingan itu untuk peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada bulan hadapan.

“Saya rasa gembira kerana dipilih oleh tenaga pengajar untuk menyertai pertandingan ini dan dalam masa yang sama dapat mencipta kejayaan dalam pertandingan tersebut.

“Peluang untuk bertanding di peringkat kebangsaan juga menjadi satu kebanggaan buat saya, malah saya akan berusaha dengan lebih gigih lagi,” katanya.

Bagi Sabrina, pilihannya mendalami bidang automotif adalah sesuatu yang tepat. Malah dia cukup ‘enjoy’ untuk melakukan setiap kerja dalam bidang yang diminatinya itu.

Bukan sekadar memenuhi minat semata-mata, tetapi juga ia untuk membuktikan wanita mampu menonjol dalam bidang teknikal yang lazim dikuasai lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN