HANOI – Berpuluh-puluh ribu penduduk dipindahkan dari pesisir pantai hari ini ketika Taufan Kajiki menghampiri daratan dan dijangka membadai kawasan tengah Vietnam dengan angin selaju 160 kilometer sejam(km/j).
Kajiki yang merupakan taufan kelima melanda Vietnam tahun ini, sedang bergerak melintasi Teluk Tonkin, menyebabkan ombak setinggi hingga 9.5 meter (31 kaki).
Lebih 325,500 penduduk di lima wilayah pesisir pantai sepatutnya berpindah ke sejumlah sekolah dan bangunan awam yang dijadikan pusat perlindungan sementara, kata pihak berkuasa.
Menjelang subuh tadi, hampir 30,000 orang telah dipindahkan, manakala dua lapangan terbang domestik ditutup dan semua kapal nelayan yang berada di laluan taufan dipanggil pulang ke pelabuhan.
Ribut itu dijangka melanda sekitar pukul 1 tengah hari (2 petang waktu Malaysia), kata Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Nasional Vietnam.
Bagaimanapun, kekuatan Kajiki dijangka berkurangan secara mendadak selepas tiba di daratan.
Lebih 12 penerbangan domestik Vietnam dibatalkan semalam, manakala pentadbiran Hainan di China memindahkan kira-kira 20,000 penduduk ketika taufan melintasi selatan pulau itu. – AFP